Sabtu, 28 Februari 2009

Pesanan

Tetapkan arahmu
agar kaki tahu ke mana mahu dituju
agar hati tidak menjadi raja
memerintah semahunya
agar semangat kekal berkobar
agar diri makin disiplin
jinak terkawal
patuh selalu...

Tetapkan matlamatmu
agar akal dapat merencana
setiap detik jadi bermakna
agar minda dapat menjana
tiap titis ilmu, walau dari mana
akan dihirup, disedut, dimamah dan dihadam
sebaik-baiknya...

Tetapkan imanmu
agar hidup memberi maksud
sanubari pun tenang sentosa
riang gembira
kukuh dan teguh
walau dimana kau berada...

Percayalah
kau takkan kesunyian
walau sendirian di perantauan
kerana kasihnya Tuhan
tidak bertepian...

Moga kau senantiasa dirahmatiNya ...

*Ditujukan khas buat sepupu ...
yang akan berangkat ke Perth pada Sabtu, 28 Februari 2009
untuk melanjutkan pelajaran ...
semoga impian jadi kenyataan!